18 August 2023

Empat paderi sambut ulang tahun pentahbisan serentak

LIMBAHAU: “Merayakan ulang tahun pentahbisan empat paderi dan upacara kesyukuran seorang paderi yang baharu ditahbis menandakan keindahan Ekaristi.”

“Melalui Ekaristi, kita diingatkan bahawa Tuhan itu sudah bangkit dan Dia bersama-sama dengan kita. Oleh itu, dengan tertahbisnya seorang paderi, ini bermakna kita akan sentiasa bersatu dengan Tuhan dan sesama melalui Ekaristi,” demikian kata Fr Terans Thadeus, salah seorang paderi yang merayakan ulang tahun kepaderian kali pertama, pada Julai 31, di Gereja Holy Rosary, Limbahau, Papar.

Fr Terans yang ditahbis pada Julai 16, 2022 merayakan ulang tahun imamat pertama bersama tiga lagi rakan paderinya iaitu Fr Lasius Gantis (Ogos 4, 2022) dan Friar Gerard Terence Saimel OFM (Julai 2, 2022) yang masing-masing menyambut ulang tahun pentahbisan pertama serta ulang tahun kepaderian Friar Arul S Mariadass OFM yang ke-26 tahun. Friar Arul ditahbis pada Julai 18, 1997.

Turut diraikan pada hari itu ialah kesyukuran sempena pentahbisan Fr Elvost Lunchi MHM yang ditahbis pada Julai 22, 2023 di Gereja yang sama.

Perayaan Ekaristi lima dalam satu ini dipimpin oleh Fr Gerard OFM yang turut dihadiri oleh Msgr Nicholas Stephen, Fr Slyvester Wong, Fr Joshua Liew dan Fr Aloysius Fidelis.

Lima paderi (dari kiri Fr Elvost, Fr Terans, Friar Gerard, Fr Lasius dan Friar Arul) yang diraikan pada Julai 31, 2023 sedang merayakan Ekaristi bersama.

Homili disampaikan oleh Fr Elvost MHM yang “bagaimana mengasihi? Apakah itu kasih. Saya menyayangi ibu bapa dan orang-orang sekeliling tetapi tetap ada pertelingkahan dan perselisihan.

Oleh itu, Fr Elvost menumpukan kasih Tuhan yang sangat unggul. Kasih manusia terhadap Tuhan belum sempurna. Kerana kita semua adalah penziarah yang sedang menuju jalan kekudusan.

“Mari kita fokus kepada kasih Tuhan, kita tidak dapat berpisah dengan Seorang yang sangat mencintai kita, yang turun ke dunia untuk menjadi manusia dalam segala aspek seperti kita kecuali dosa, mengalami segala penderitaan dan sengsara sehinggalah wafat di kayu Salib. Ini adalah kasih Tuhan sehingga sanggup memberikan nyawa.”

“Kasih-Nya tidak berakhir di kayu Salib, tetapi bangkit dan hidup bersama kita hingga akhir hayat.” Selepas Misa Kudus, para paderi dan umat beredar ke Dewan Fr Augustine Amandus untuk acara makan bersama dan meraikan ulang tahun kelahiran Fr Joshua Liew.

Sumber: Empat paderi sambut ulang tahun pentahbisan serentak (heraldmalaysia.com)

You May Also Like

0 Comments